Sunday, March 21, 2010

MRSM: Berikan Keutamaan Kepada Pelajar Sederhana & Miskin.


Assalamualaikum W.B.T & salam 1Malaysia,

Sebagaimana yang kita maklum bahawa salah satu dasar penubuhan Majlis Amanah Rakyat atau MARA telah ditubuhkan untuk membantu golongan bumiputera Malaysia meningkatkan taraf hidup ke arah yang lebih baik terutamanya di dalam bidang ekonomi. MARA ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada tahun sebelumnya. Salah sebuah hasil kelahiran di bawah MARA adalah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Sebagaimana maklum juga, MRSM merupakan salah satu bentuk pengajian pendidikan pelajaran di peringkat menengah yang memfokuskan kepada kaum bumiputera di atas dasar meningkatkan taraf sosialogi Bumiputera. Syabas kepada pihak kerajaan Malaysia di atas penubuhan MRSM dan lihatlah produk-produk MRSM yang kini mewarnai Malaysia sebagai salah satu golongan yang berjaya di bidang masing-masing.

Namun walau bagaimana pun, setiap ciptaan manusia itu punya kelemahan dan jua kelebihan dan begitu juga dengan MRSM. Saya dimaklumkan bahawa salah satu syarat kemasukan pelajar ke MRSM adalah berjaya mendapat keputusan 5A di dalam Peperiksaan Ujian Penilaian Rendah (UPSR). Bertepatan sekali dengan ciri-ciri MRSM sebagai salah sebuah institusi pengajian menengah yang "elite".

Namun, apa yang merisaukan saya kini ialah tahap dan cara pemilihan pelajar di MRSM. Saya pernah ke MRSM dan kebetulannya hari itu adalah hari kepulangan pelajar ke kampung masing-masing. Saya agak terkejut melihat begitu banyak sekali kereta-kereta mewah seperti Mercedes Benz, BMW, Toyota Camry terbaru dan banyak lagi model-model kereta mewah masuk ke perkarangan MRSM tersebut mengambil anak masing-masing. "Anak-anak orang berada, barangkali" detik hati saya.

Lantas, akal saya terfikir tentang anak-anak golongan sederhana dan miskin yang pernah saya temui. Mereka berjaya memperolehi 5A dalam UPSR, tetapi mereka gagal untuk mendapat tempat ke sekolah-sekolah elite seperti MRSM, sekolah sains ataupun mana-mana sekolah berasrama penuh. Mereka pernah mengadu kepada saya tentang perkara ini ketika saya turun padang mengambil tahu tentang kesusahan rakyat dan bekerja di pelosok kampung-kampung.

Saya terfikir. Dimanakah silapnya sehingga anak-anak bangsa ini yang sepatutnya mendapat tempat di MRSM telah diambil tempatnya oleh anak pemilik-pemilik kereta mewah ini?

Saya terfikir tentang cara pemilihan pelajar. Apakah keutamaan yang diberikan untuk dipilih sebagai pelajar MRSM yang mendapat bantuan penuh Kerajaan ini? Apakah kedudukan pendapatan keluarga yang diberi keutamaan atau "surat sokongan" dari Dato' ini dan Tan Sri itu?

Saya tidak menafikan bahawa ada beberapa golongan yang sangat mampu (berada) telah meminta Dato' ini, Tan Sri itu, Menteri ini atau Timbalan Menteri itu untuk memberikan sokongan kepada anak mereka untuk dipilih sebagai pelajar MRSM. Namun, apakah tempat anak-anak golongan berada ini telah menafikan tempat anak-anak yang kurang bernasib baik tapi layak ini?

Oleh itu, saya memohon jasa baik kepada pihak yang berkenaan untuk memberikan keutamaan sewajarnya kepada anak-anak dari keluarga berpendapatan RM700 ke bawah untuk diberi tempat meneruskan pelajaran di MRSM. Ini adalah bertepatan dengan dasar asal MARA untuk meningkatkan taraf keluarga sederhana dan miskin kepada tahap yang lebih membanggakan. Sekurang-kurangnya, seorang anak pengawal keselamatan akan merubah nasib keluarganya pada masa akan datang apabila berjaya dididik di MRSM sebagai pelajar cemerlang dan bekerja sebagai seorang jurutera.

Selain itu, sebagai tidak menafikan hak bumiputera golongan mewah dan VIP, saya menyarankan kuota 5% diberikan kepada anak-anak golongan ini. Usahlah kemasukan pelajar diutamakan kepada surat sokongan dari para Dato', Tan Sri, Menteri atau Timbalan Menteri lagi. Sebaliknya, haruslah diutamakan kepada pendapatan bulanan keluarga mengikut kelayakan.

Saya mengharapkan agar rayuan saya dan anak-anak golongan bumiputera berpendapatan sederhana dan miskin ini agar dipertimbangkan. Saya tidak menolak bahawa kadangkala kita juga ada melakukan kesilapan dalam perlaksanaan dasar. Namun, sebagai kerajaan yang prihatin terhadap keperluan rakyat, saya merayu kepada pihak berkenaan untuk kembali ke dasar asal penubuhan asal MARA dan MRSM.

Sekian, terima kasih dan salam 1Malaysia.

1 comment:

  1. CCTV sokong, memang betul kebanyakan pelajar MRSM masa kini terdiri daripada anak orang berada. Ini kerana CCTV juga mempunyai anak saudara yang belajar di MRSM. Dari tinjauan CCTV di 4 buah MRSM iaitu MRSM Merbok, Pengkalan Hulu, Kubang Pasu & Taiping, didapati dakwa Pn Shahanim adalah berasas dan benar. Mohon pihak yang terlibat mengkaji semula proses pengambilan pelajar ke MRSM.

    ReplyDelete