Sunday, March 21, 2010

MRSM: Berikan Keutamaan Kepada Pelajar Sederhana & Miskin.


Assalamualaikum W.B.T & salam 1Malaysia,

Sebagaimana yang kita maklum bahawa salah satu dasar penubuhan Majlis Amanah Rakyat atau MARA telah ditubuhkan untuk membantu golongan bumiputera Malaysia meningkatkan taraf hidup ke arah yang lebih baik terutamanya di dalam bidang ekonomi. MARA ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada tahun sebelumnya. Salah sebuah hasil kelahiran di bawah MARA adalah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Sebagaimana maklum juga, MRSM merupakan salah satu bentuk pengajian pendidikan pelajaran di peringkat menengah yang memfokuskan kepada kaum bumiputera di atas dasar meningkatkan taraf sosialogi Bumiputera. Syabas kepada pihak kerajaan Malaysia di atas penubuhan MRSM dan lihatlah produk-produk MRSM yang kini mewarnai Malaysia sebagai salah satu golongan yang berjaya di bidang masing-masing.

Namun walau bagaimana pun, setiap ciptaan manusia itu punya kelemahan dan jua kelebihan dan begitu juga dengan MRSM. Saya dimaklumkan bahawa salah satu syarat kemasukan pelajar ke MRSM adalah berjaya mendapat keputusan 5A di dalam Peperiksaan Ujian Penilaian Rendah (UPSR). Bertepatan sekali dengan ciri-ciri MRSM sebagai salah sebuah institusi pengajian menengah yang "elite".

Namun, apa yang merisaukan saya kini ialah tahap dan cara pemilihan pelajar di MRSM. Saya pernah ke MRSM dan kebetulannya hari itu adalah hari kepulangan pelajar ke kampung masing-masing. Saya agak terkejut melihat begitu banyak sekali kereta-kereta mewah seperti Mercedes Benz, BMW, Toyota Camry terbaru dan banyak lagi model-model kereta mewah masuk ke perkarangan MRSM tersebut mengambil anak masing-masing. "Anak-anak orang berada, barangkali" detik hati saya.

Lantas, akal saya terfikir tentang anak-anak golongan sederhana dan miskin yang pernah saya temui. Mereka berjaya memperolehi 5A dalam UPSR, tetapi mereka gagal untuk mendapat tempat ke sekolah-sekolah elite seperti MRSM, sekolah sains ataupun mana-mana sekolah berasrama penuh. Mereka pernah mengadu kepada saya tentang perkara ini ketika saya turun padang mengambil tahu tentang kesusahan rakyat dan bekerja di pelosok kampung-kampung.

Saya terfikir. Dimanakah silapnya sehingga anak-anak bangsa ini yang sepatutnya mendapat tempat di MRSM telah diambil tempatnya oleh anak pemilik-pemilik kereta mewah ini?

Saya terfikir tentang cara pemilihan pelajar. Apakah keutamaan yang diberikan untuk dipilih sebagai pelajar MRSM yang mendapat bantuan penuh Kerajaan ini? Apakah kedudukan pendapatan keluarga yang diberi keutamaan atau "surat sokongan" dari Dato' ini dan Tan Sri itu?

Saya tidak menafikan bahawa ada beberapa golongan yang sangat mampu (berada) telah meminta Dato' ini, Tan Sri itu, Menteri ini atau Timbalan Menteri itu untuk memberikan sokongan kepada anak mereka untuk dipilih sebagai pelajar MRSM. Namun, apakah tempat anak-anak golongan berada ini telah menafikan tempat anak-anak yang kurang bernasib baik tapi layak ini?

Oleh itu, saya memohon jasa baik kepada pihak yang berkenaan untuk memberikan keutamaan sewajarnya kepada anak-anak dari keluarga berpendapatan RM700 ke bawah untuk diberi tempat meneruskan pelajaran di MRSM. Ini adalah bertepatan dengan dasar asal MARA untuk meningkatkan taraf keluarga sederhana dan miskin kepada tahap yang lebih membanggakan. Sekurang-kurangnya, seorang anak pengawal keselamatan akan merubah nasib keluarganya pada masa akan datang apabila berjaya dididik di MRSM sebagai pelajar cemerlang dan bekerja sebagai seorang jurutera.

Selain itu, sebagai tidak menafikan hak bumiputera golongan mewah dan VIP, saya menyarankan kuota 5% diberikan kepada anak-anak golongan ini. Usahlah kemasukan pelajar diutamakan kepada surat sokongan dari para Dato', Tan Sri, Menteri atau Timbalan Menteri lagi. Sebaliknya, haruslah diutamakan kepada pendapatan bulanan keluarga mengikut kelayakan.

Saya mengharapkan agar rayuan saya dan anak-anak golongan bumiputera berpendapatan sederhana dan miskin ini agar dipertimbangkan. Saya tidak menolak bahawa kadangkala kita juga ada melakukan kesilapan dalam perlaksanaan dasar. Namun, sebagai kerajaan yang prihatin terhadap keperluan rakyat, saya merayu kepada pihak berkenaan untuk kembali ke dasar asal penubuhan asal MARA dan MRSM.

Sekian, terima kasih dan salam 1Malaysia.

Thursday, March 4, 2010

"Sejahtera"kah rakyat marhain di Kedah di bawah pentadbiran Azizan Razak?


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Maafkan saya kerana tidak menukilkan sesuatu di blog ini sejak sekian lama. Kesibukan kerjaya dan aktiviti agak padat membataskan saya untuk menulis. Namun, semua itu tidak akan memadamkan suara saya. Pendapat dan buah fikiran akan terus di suarakan melalui blog ini. Freedom of speech. Bukankah itu amalan di Malaysia? Terpulanglah mahu menerima atau tidak, asalkan suara itu bukanlah fitnah atau tidak berfakta. Di atas kelapangan yang Allah berikan hari ini, maka saya ingin bersuara mengenai Kedah "Sejahtera Nikmat Untuk Semua" sebagaimana yang terpampang pada papan tanda hampir di segenap pelosok negeri Kedah.

Sudah hampir 2 tahun, negeri Kedah diperintah oleh Pakatan Rakyat yang didominasikan oleh PAS. YB Azizan Razak bertindak sebagai MB Kedah bersama-sama barisan Exconya diberi peluang oleh rakyat negeri Kedah untuk menabur jasa, memberikan khidmat mereka untuk dinikmati. Sememangnya pentadbiran mereka kelihatan tidak bermasalah sebagaimana negeri-negeri lain. Tidak banyak isu seperti di Perak atau Selangor. Mungkin YB Azizan Razak dan exco-exconya agak selesa berbanding YB Nizar atau YB Khalid Ibrahim. Itulah kata orang tentang pentadbiran negeri Kedah. Kata orang.

Namun, tahukah kita bahawa pentadbiran yang menggunakan slogan "Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" ini bermasalah? Kenapa saya berkata demikian? Ini adalah kerana kerajaan ini tidak melakukan apa-apa pun pembangunan baru untuk negeri Kedah. Cukai tanah dikurangkan, kononnya untuk mengurangkan beban rakyat. Sedangkan Kerajaan Negeri Kedah adalah diantara kerajaan yang termiskin di Malaysia dan cukai tanah di Kedah adalah merupakan di antara yang terendah di Malaysia. Jadi, apakah relevannya cukai tanah itu dikurangkan? Bukankah itu akan sedikit sebanyak mengurangkan pendapatan kerajaan negeri? Banyak lagi cara untuk mengurangkan beban rakyat, mengapa pula cara ini dipilih?

Oleh kerana Kerajaan Negeri Kedah kekurangan dana, maka baru-baru ini YB Azizan telah mengumumkan untuk menyerahkan rumah-rumah perumahan yang didirikan kerajaan negeri kepada pihak bank. Beliau beralasan bahawa perumahan awam untuk rakyat marhain ini telah menyebabkan Kerajaan Negeri Kedah kerugian sebanyak RM27 juta, akibat sewa beli yang tidak dibayar oleh pemilik rumah-rumah rakyat tersebut. Ini termasuklah perumahan awam di Mergong dan Paya Nahu. Dengan penyerahan rumah-rumah rakyat tersebut kepada pihak bank, maka hutang-hutang rumah tersebut akan dibayar oleh pihak bank kepada pihak negeri dan kerajaan negeri akan untung semula, selain memperolehi kembali wang mereka. Pemilik-pemilik perumahan rakyat terbabit hanya perlu menjelaskan baki hutang tertunggak mereka kepada pihak bank. Mudah. Begitu mudah bagi Kerajaan Negeri, dan selesailah sedikit masalah kewangan negeri Kedah. Mungkin bagi YB Azizan dan exco-exconya, "padan mukalah bagi mereka yang liat dan tidak mahu membayar hutang, astro boleh bayar, takkanlah rumah tak boleh nak bayar?"

Saya ingin membuka minda para pemimpin Pakatan Rakyat di Kedah bahawa projek perumahan rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan BN Kedah terdahulu adalah bertujuan untuk membela nasib rakyat marhain di Kedah yang tidak berkemampuan. Selain itu, kerajaan BN Kedah dahulu amat prihatin kepada rakyat Kedah yang tidak memiliki rumah dan tidak lulus pinjaman bank. BN amat menitik beratkan dan prihatin terhadap nasib rakyat Kedah sehinggakan meluluskan dana yang banyak untuk kebajikan rakyatnya sendiri.

Tanpa terlalu memikirkan keuntungan (profit oriented), maka BN telah berkorban sejak sekian lama dan bersabar menunggu pemilik-pemilik perumahan rakyat ini untuk membayar hutang mereka. BN tidak lokek untuk memberikan kelonggaran kepada rakyat marhain tersebut kerana Kerajaan BN dahulu amat memahami masalah rakyatnya dan kadar kemampuan ekonomi mereka. Untuk pengetahuan YB-YB Pakatan Rakyat, perumahan rakyat marhain tersebut di diami oleh ramai rakyat Kedah yang berada dibawah paras kemiskinan ketika di zaman itu. Kebanyakkannya ditapis sebelum diberikan bantuan untuk menyewa beli rumah-rumah tersebut. Hanya yang layak sahaja yang akan diluluskan. Nyata sekali rumah-rumah tersebut dibina atas dasar ihsan, rasa tanggungjawab dan kebajikan dari Kerajaan BN.

Persoalannya, mengapa pula Kerajaan YB-YB Pakatan Rakyat tidak melihat tentang kebajikan rakyat ini? Malah YB-YB hanya melihat cara yang mudah untuk mendapatkan hutang lapuk yang dari mereka yang kurang berkemampuan dengan menyerahkan seliaan hutang tersebut kepada pihak bank. Sampai hatikah melihat rumah mereka-mereka yang hanya berpendapatan bawah RM500 itu disita dan dipalang pintunya oleh pihak bank. Saya faham bahawa mereka tidak membayar hutang, tapi tidak wujudkah mekanisma yang lebih mesra rakyat yang lebih molek digunakan? Apakah kerajaan YB-YB yang mendokong "Sejahtera Nikmat Untuk Semua" ini sudah ketandusan idea untuk menyejahteraankan kehidupan rakyat-rakyat marhain?

Tolonglah YB-YB "Sejahtera", saya mohon jasa baik dan budi bicara YB-YB semua agar mempertimbangkan nasib rakyat ini. Kasihanilah mereka. Bukankah Allah itu Maha Mengasihani dan amat menyukai hambaNya yang kasih mengasihani di antara hamba-hambanya?

Saya difahamkan bahawa ada diantara pemimpin Pakatan Rakyat, termasuklah tuan setiausaha politik MB yang menyatakan bahawa ada beberapa pemilik perumahan tersebut yang menerangkan kemelut perumahan rakyat marhain ini diblognya. Terima kasih atas penerangan tersebut walaupun ada kalanya kasar sedikit bahasanya. Bagi majoriti rakyat marhain, bukan astro mahupun renovate rumah yang menjadi persoalannya. Yang diminta untuk diberikan pertimbangan ialah golongan ibu tunggal, keluarga besar, golongan di bawah kemiskinan dan golongan yang pendapatan isi rumah di bawah RM750 sebulan.

Pada saya, YB-YB atau tuan setiausaha MB tersebut turunlah ke bawah. Lawati rumah-rumah tersebut dan buatlah bancian. Rundinglah dengan cara terbaik. Kepada yang memiliki astro dan renovate rumah mereka dan tidak membayar hutang rumah mereka, rundinglah dengan budi bicara yang sepatutnya. Dan kepada yang susah hidupnya sebagaimana yang saya katakan di atas, maka lunakkanlah bahasa ketika berunding, pertimbangkanlah sehalus-halusnya dan mintalah bayaran bulanan yang semampu-mampunya. Terangkan kepada mereka, bahawa hutang juga akan dihisab suatu hari kelak di padang mahsyar. Tentunya ada cara. Kerajaan BN sebelum ini mampu mencari mekanismanya, takkanlah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak mampu berunding dengan cara berkhikmah (win-win situation)? Bukankah Islam itu menganjurkan syura dan musyawarah untuk menyelesaikan masalah? Janganlah hanya ingat pada kantong Kerajaan Negeri Kedah yang kian kosong sahaja. Ada banyak lagi cara yang lebih baik dan menyejahterakan rakyat.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan kepada YB Azizan "selamat merombak exco pentadbiran"nya. Khabarnya YB Azizan akan merombak exco-exconya pada 10hb. Mac 2010 ini. Sudah lebih 2 tahun pentadbiran YB. Tentunya exco-exco yang sedia ada tidak efisien dan inovatif, serta banyak pincang dan "main-main" dala pentadbiran. Lagi pula, dikhabarkan rakyat bahawa kerajaan Kedah lebih banyak "tidur" dari "kerja"nya. Sebab itulah exco-exconya digugur dan dirombak. Mungkin lebih tepat, saya boleh katakan bahawa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Kedah tidak mampu mentadbir jika dibandingkan dengan Kerajaan BN. Menang di Kedah pun tidak terjangka. Padanlah dengan jolokan "kerajaan bidan terjun"! Harap-harap, jangan menyusahkan rakyat Kedah, sudah..!

Sunday, January 24, 2010

Puteri UMNO dan "api dalam sekam"?


1. Nampaknya ada "pihak" yang kurang senang dengan "hubungan baik" saya dengan YB Rosnah merangkap Ketua Puteri UMNO Malaysia. Menurut khabar, ada "pihak" yang cuba "melaga-laga"kan kepimpinan Puteri UMNO Malaysia dengan menuduh saya tidak memberitahu aktiviti atau program-program yang saya anjur atau hadiri kepada YB Rosnah Shirlin.

2. Untuk pengetahuan umum, saya telah melaporkan segala aktiviti mahupun program yang membabitkan saya kepada Ketua saya. Saya amat menghormati YB Rosnah sebagai Ketua saya dan saya pasti memberikan informasi tentang pembabitan saya dengan aktiviti semasa sebagai Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia.

3. Oleh itu, tidak timbul sebarang isu seperti yang digembar-gemburkan oleh "pihak" itu. Jika ada, saya minta "pihak" yang berkenaan untuk tampil memberitahu saya tentang program/aktiviti manakah yang saya tidak saya laporkan kepada Ketua Puteri UMNO Malaysia?

4. Saranan saya kepada "pihak" terbabit supaya janganlah menjadi "batu api" di dalam Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. Saat ini bukanlah masa untuk kita semua "berpolitiking" sesama kita. Sebaliknya, kita haruslah memperkukuhkan barisan Puteri UMNO demi UMNO yang memperjuangkan Islam, Bangsa dan Malaysia. Kita haruslah bersatu dan bersama-sama menyerang Pakatan Rakyat yang semakin terang-terangan membohongi rakyat Malaysia.

5. Marilah bersama-sama saya dan YB Rosnah berkhidmat kepada rakyat Malaysia dan menyedarkan rakyat betapa pincangkan pihak Pakatan Rakyat. Terlalu banyak perkara "karut marut" yang telah dilaksanakan oleh Pakatan Rakyat sejak Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu.

6. Kepada adik-adik Puteri tersayang, kukuhkan barisan kita. Puteri UMNO pastinya akan tampil menjadi "Srikandi Melayu" abad ini. Ayuhlah kita berjuang demi Islam, Bangsa Melayu dan Malaysia tanahair kita!

Ikhlas,
~ Shahanim Mohd Yusoff ~

Takziah buat Kak Su...


Assalamualaikum w.b.t.

Saya ingin mengucapkan takziah kepada Kak Su (YB Suraya Yaacob - ADUN Sg.Tiang)dan keluarga di atas pemergian putera keduanya, Syed Arif Syed Afandi Barakhbah, ke rahmatullah semalam, 23hb Januari 2010, akibat kemalangan jalanraya.

Saya juga amat bersedih dan bersimpati dengan kehilangan permata hati Kak Su, namun saya harap Kak Su dan keluarga dapat bersabar di atas dugaan ujian dari Allah S.W.T ini. Mungkin Allah S.W.T lebih menyayangi Allahyarham Syed Arif. Insyaallah, anakanda Syed Arif akan menunggu Kak Su di syurga, insyaallah.

Ikhlas dari,

~ Shahanim Mohd Yusof ~

"Suara Shahanim"


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Selamat datang saya ucapkan kepada tuan, puan, saudara dan saudari ke blog ini. Dengan lahirnya blog ini, maka ianya akan menjadi "suara" peribadi saya untuk berkongsi pandangan dan cadangan bersama rakyat Malaysia secara umum, dan secara khusus untuk kita berbincang dan berinteraksi secara maya.

Saya mengalu-alukan kunjungan pembaca ke blog ini dan memberikan komen-komen bernas dan membina. Namun diingatkan bahawa blog ini bukanlah medan untuk memaki hamun, fitnah memfitnah, hasut menghasut atau mencetus kekacauan kerana Islam melarang sama sekali perbuatan sedemikian. Oleh itu, saya tidak akan teragak-agak untuk memadam komen-komen yang tidak berkenaan dan terlarang oleh akhlak Islam.

Semoga sama-sama kita mendapat rahmat Allah dan meneruskan perjuangan memartabatkan Islam, Bangsa Melayu dan Malaysia. Saya amat menghargai pandangan dan idea-idea bernas dari pembaca.

Sekian, terima kasih.

~ Shahanim Mohd Yusoff ~