Thursday, March 4, 2010

"Sejahtera"kah rakyat marhain di Kedah di bawah pentadbiran Azizan Razak?


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Maafkan saya kerana tidak menukilkan sesuatu di blog ini sejak sekian lama. Kesibukan kerjaya dan aktiviti agak padat membataskan saya untuk menulis. Namun, semua itu tidak akan memadamkan suara saya. Pendapat dan buah fikiran akan terus di suarakan melalui blog ini. Freedom of speech. Bukankah itu amalan di Malaysia? Terpulanglah mahu menerima atau tidak, asalkan suara itu bukanlah fitnah atau tidak berfakta. Di atas kelapangan yang Allah berikan hari ini, maka saya ingin bersuara mengenai Kedah "Sejahtera Nikmat Untuk Semua" sebagaimana yang terpampang pada papan tanda hampir di segenap pelosok negeri Kedah.

Sudah hampir 2 tahun, negeri Kedah diperintah oleh Pakatan Rakyat yang didominasikan oleh PAS. YB Azizan Razak bertindak sebagai MB Kedah bersama-sama barisan Exconya diberi peluang oleh rakyat negeri Kedah untuk menabur jasa, memberikan khidmat mereka untuk dinikmati. Sememangnya pentadbiran mereka kelihatan tidak bermasalah sebagaimana negeri-negeri lain. Tidak banyak isu seperti di Perak atau Selangor. Mungkin YB Azizan Razak dan exco-exconya agak selesa berbanding YB Nizar atau YB Khalid Ibrahim. Itulah kata orang tentang pentadbiran negeri Kedah. Kata orang.

Namun, tahukah kita bahawa pentadbiran yang menggunakan slogan "Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua" ini bermasalah? Kenapa saya berkata demikian? Ini adalah kerana kerajaan ini tidak melakukan apa-apa pun pembangunan baru untuk negeri Kedah. Cukai tanah dikurangkan, kononnya untuk mengurangkan beban rakyat. Sedangkan Kerajaan Negeri Kedah adalah diantara kerajaan yang termiskin di Malaysia dan cukai tanah di Kedah adalah merupakan di antara yang terendah di Malaysia. Jadi, apakah relevannya cukai tanah itu dikurangkan? Bukankah itu akan sedikit sebanyak mengurangkan pendapatan kerajaan negeri? Banyak lagi cara untuk mengurangkan beban rakyat, mengapa pula cara ini dipilih?

Oleh kerana Kerajaan Negeri Kedah kekurangan dana, maka baru-baru ini YB Azizan telah mengumumkan untuk menyerahkan rumah-rumah perumahan yang didirikan kerajaan negeri kepada pihak bank. Beliau beralasan bahawa perumahan awam untuk rakyat marhain ini telah menyebabkan Kerajaan Negeri Kedah kerugian sebanyak RM27 juta, akibat sewa beli yang tidak dibayar oleh pemilik rumah-rumah rakyat tersebut. Ini termasuklah perumahan awam di Mergong dan Paya Nahu. Dengan penyerahan rumah-rumah rakyat tersebut kepada pihak bank, maka hutang-hutang rumah tersebut akan dibayar oleh pihak bank kepada pihak negeri dan kerajaan negeri akan untung semula, selain memperolehi kembali wang mereka. Pemilik-pemilik perumahan rakyat terbabit hanya perlu menjelaskan baki hutang tertunggak mereka kepada pihak bank. Mudah. Begitu mudah bagi Kerajaan Negeri, dan selesailah sedikit masalah kewangan negeri Kedah. Mungkin bagi YB Azizan dan exco-exconya, "padan mukalah bagi mereka yang liat dan tidak mahu membayar hutang, astro boleh bayar, takkanlah rumah tak boleh nak bayar?"

Saya ingin membuka minda para pemimpin Pakatan Rakyat di Kedah bahawa projek perumahan rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan BN Kedah terdahulu adalah bertujuan untuk membela nasib rakyat marhain di Kedah yang tidak berkemampuan. Selain itu, kerajaan BN Kedah dahulu amat prihatin kepada rakyat Kedah yang tidak memiliki rumah dan tidak lulus pinjaman bank. BN amat menitik beratkan dan prihatin terhadap nasib rakyat Kedah sehinggakan meluluskan dana yang banyak untuk kebajikan rakyatnya sendiri.

Tanpa terlalu memikirkan keuntungan (profit oriented), maka BN telah berkorban sejak sekian lama dan bersabar menunggu pemilik-pemilik perumahan rakyat ini untuk membayar hutang mereka. BN tidak lokek untuk memberikan kelonggaran kepada rakyat marhain tersebut kerana Kerajaan BN dahulu amat memahami masalah rakyatnya dan kadar kemampuan ekonomi mereka. Untuk pengetahuan YB-YB Pakatan Rakyat, perumahan rakyat marhain tersebut di diami oleh ramai rakyat Kedah yang berada dibawah paras kemiskinan ketika di zaman itu. Kebanyakkannya ditapis sebelum diberikan bantuan untuk menyewa beli rumah-rumah tersebut. Hanya yang layak sahaja yang akan diluluskan. Nyata sekali rumah-rumah tersebut dibina atas dasar ihsan, rasa tanggungjawab dan kebajikan dari Kerajaan BN.

Persoalannya, mengapa pula Kerajaan YB-YB Pakatan Rakyat tidak melihat tentang kebajikan rakyat ini? Malah YB-YB hanya melihat cara yang mudah untuk mendapatkan hutang lapuk yang dari mereka yang kurang berkemampuan dengan menyerahkan seliaan hutang tersebut kepada pihak bank. Sampai hatikah melihat rumah mereka-mereka yang hanya berpendapatan bawah RM500 itu disita dan dipalang pintunya oleh pihak bank. Saya faham bahawa mereka tidak membayar hutang, tapi tidak wujudkah mekanisma yang lebih mesra rakyat yang lebih molek digunakan? Apakah kerajaan YB-YB yang mendokong "Sejahtera Nikmat Untuk Semua" ini sudah ketandusan idea untuk menyejahteraankan kehidupan rakyat-rakyat marhain?

Tolonglah YB-YB "Sejahtera", saya mohon jasa baik dan budi bicara YB-YB semua agar mempertimbangkan nasib rakyat ini. Kasihanilah mereka. Bukankah Allah itu Maha Mengasihani dan amat menyukai hambaNya yang kasih mengasihani di antara hamba-hambanya?

Saya difahamkan bahawa ada diantara pemimpin Pakatan Rakyat, termasuklah tuan setiausaha politik MB yang menyatakan bahawa ada beberapa pemilik perumahan tersebut yang menerangkan kemelut perumahan rakyat marhain ini diblognya. Terima kasih atas penerangan tersebut walaupun ada kalanya kasar sedikit bahasanya. Bagi majoriti rakyat marhain, bukan astro mahupun renovate rumah yang menjadi persoalannya. Yang diminta untuk diberikan pertimbangan ialah golongan ibu tunggal, keluarga besar, golongan di bawah kemiskinan dan golongan yang pendapatan isi rumah di bawah RM750 sebulan.

Pada saya, YB-YB atau tuan setiausaha MB tersebut turunlah ke bawah. Lawati rumah-rumah tersebut dan buatlah bancian. Rundinglah dengan cara terbaik. Kepada yang memiliki astro dan renovate rumah mereka dan tidak membayar hutang rumah mereka, rundinglah dengan budi bicara yang sepatutnya. Dan kepada yang susah hidupnya sebagaimana yang saya katakan di atas, maka lunakkanlah bahasa ketika berunding, pertimbangkanlah sehalus-halusnya dan mintalah bayaran bulanan yang semampu-mampunya. Terangkan kepada mereka, bahawa hutang juga akan dihisab suatu hari kelak di padang mahsyar. Tentunya ada cara. Kerajaan BN sebelum ini mampu mencari mekanismanya, takkanlah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak mampu berunding dengan cara berkhikmah (win-win situation)? Bukankah Islam itu menganjurkan syura dan musyawarah untuk menyelesaikan masalah? Janganlah hanya ingat pada kantong Kerajaan Negeri Kedah yang kian kosong sahaja. Ada banyak lagi cara yang lebih baik dan menyejahterakan rakyat.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan kepada YB Azizan "selamat merombak exco pentadbiran"nya. Khabarnya YB Azizan akan merombak exco-exconya pada 10hb. Mac 2010 ini. Sudah lebih 2 tahun pentadbiran YB. Tentunya exco-exco yang sedia ada tidak efisien dan inovatif, serta banyak pincang dan "main-main" dala pentadbiran. Lagi pula, dikhabarkan rakyat bahawa kerajaan Kedah lebih banyak "tidur" dari "kerja"nya. Sebab itulah exco-exconya digugur dan dirombak. Mungkin lebih tepat, saya boleh katakan bahawa pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Kedah tidak mampu mentadbir jika dibandingkan dengan Kerajaan BN. Menang di Kedah pun tidak terjangka. Padanlah dengan jolokan "kerajaan bidan terjun"! Harap-harap, jangan menyusahkan rakyat Kedah, sudah..!

1 comment: